Saturday, January 1, 2011

RM16 juta bantuan modal asas kepada pelatih GiatMara

01/01/2011 6:38pm

TEMERLOH 1 Jan - Sebanyak RM16 juta diperuntukkan bagi bantuan modal asas kepada para lepasan pelatih GiatMara Malaysia untuk memulakan perniagaan mereka mulai tahun ini.

Pengerusi GiatMara Malaysia, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, peruntukan untuk tahun 2011 dan 2012 itu meliputi bantuan sewa premis perniagaan dan bantuan asas untuk memulakan perniagaan mereka.

"Contohnya jika bekas pelatih GiatMara mahu memulakan perniagaan membuka kedai menjual kek, kita akan menyediakan modal untuk menyewa premis dan membeli peralatan bagi memulakan perniagaan berkenaan.

"Perkembangan perniagaan mereka akan dipantau, dan selepas itu kita akan menguruskan bentuk pinjaman daripada MARA sekiranya mereka mahu memperkembangkan lagi perniagaan mereka," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Shahiruddin berkata pihaknya menyasarkan untuk melahirkan 2,500 usahawan muda setiap tahun.

Tambahnya, sejak GiatMara ditubuhkan 25 tahun lepas, seramai 250,000 orang berjaya dilatih dalam pelbagai bidang kemahiran. - Bernama

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites